Sarawak merancang untuk menubuhkan Pihak Berkuasa Multimedianya sendiri untuk mengawal selia pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penggunaan teknologi digital di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata ini tidak bermakna ia akan bersaing dengan pihak berkuasa persekutuan tetapi semata-mata manifestati bahawa Sarawak harus turut sama untuk membangunkan ekonomi digital dalam sistem ekonya.
"Sudah tentu, saya harus membawa perkara ini dalam dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri). Mungkin tidak pada persidangan akan datang, mungkin persidangan seterusnya kerana kita perlu menubuhkan badan pihak berkuasa ini," kata beliau.
Penubuhan pihak berkuasa Multimedia ialah antara pelan tindakan yang terkandung dalam lapan resolusi utama yang dicapai pada akhir Persidangan Infrastruktur ICT dan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2017 di Kuching.
Ketika berucap di majlis penutupan persidangan itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) semalam, Abang Johari berkata persidangan itu memberi inspirasi kepada kerajaan negeri mengenai apa yang perlu dilakukan seterusnya.
Persidangan itu menampilkan 19 penceramah terkemuka yang pakar dalam bidang ekonomi digital, selain lebih 30 pempamer yang sama ada pakar atau terlibat secara aktif dalam penggunaan teknologi digital.
Persidangan selama dua hari itu dihadiri oleh lebih 1,500 delegasi termasuk penjawat awam kanan, pemimpin perniagaan, pemikir, usahawan muda dan pelajar universiti.
Selain penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) sebagai mendahului senarai resolusi utama, Abang Johari berkata resolusi itu juga menegaskan tentang perlunya menubuhkan sebuah badan khusus untuk menyelaras inisiatif ekonomi digital di negeri itu.
Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk menubuhkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak untuk menyelaraskan semua Inisiatif Ekonomi Digital dalam bidang infrastruktur, e-kerajaan, Pembangunan Bakat, e-dagang dan keselamatan siber.
Beliau berkata kerajaan komited untuk melaksanakan idea resolusi untuk membangunkan infrastruktur ICT untuk kelajuan dan kesalinghubungan, penubuhan Perkampungan Digital, dan memupuk e-Pembelajaran dari kecil.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan Makmal dan Bengkel bagi melaksanakan semua resolusi dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dalam pada itu, beliau seterusnya mengumumkan komitmen kerajaan negeri untuk menganjurkan IDECS 2018.
- Bernama
[Baca berita penuh]malaysiakini

0 komentar
Posting Komentar